Cubaan Jijik Cemar Nama Ketua Menteri, Albert Dalang Drama Persepsi – Nizam

KOTA KINABALU: Satu hantaran media sosial yang cuba mengaitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dalam skandal perlombongan di negeri ini disifatkan sebagai gerakan terancang untuk mencemarkan reputasi beliau.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, gambar yang memaparkan pertemuan Hajiji dengan Albert Tei dimanipulasi bagi mencetuskan persepsi negatif, sedangkan ia merupakan mesyuarat rasmi melibatkan pelbagai pihak berkepentingan kerajaan negeri.

“Ketua Menteri sentiasa bertemu ramai pihak dalam kapasiti beliau sebagai ketua eksekutif negeri.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan. Cubaan mengaitkan pertemuan rasmi itu dengan skandal perlombongan jelas bermotif politik,” katanya.

Menurut Nizam, kerajaan negeri sendiri telah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh.

“Tuduhan perlu dibuktikan melalui proses undang-undang, bukan fitnah murahan di media sosial,” tegasnya.

Dalam pada itu, Nizam mendedahkan individu terbabit dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan Albert yang kini berdepan prosiding rasuah di Mahkamah Kota Kinabalu.

Beliau merujuk pendedahan sebuah portal berita tempatan semalam bahawa Albert merancang ‘aksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai bagi mencetuskan drama persepsi ketika kesnya disebut di mahkamah hari ini.

“Albert masuk ke Sabah memberi alasan mahu bertemu rakan, tetapi tidak menunjukkan surat panggilan mahkamah. Semua ini dirancang untuk meraih simpati dan mengalih perhatian daripada kesnya sendiri,” katanya.

Nizam menegaskan naratif kononnya wujud campur tangan politik adalah cerita ciptaan Albert untuk mengaburi masyarakat.

“Ini bukan tindakan individu teraniaya. Ini operasi persepsi terancang oleh pihak yang terdesak,” katanya lagi.