TENOM: Seorang pemandu lori berusia 38 tahun maut dalam keadaan tragis apabila tersepit di bawah lori 10 tan yang dipandunya selepas kenderaan itu terbabas di Jalan Tenom–Keningau, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, mangsa dipercayai cuba terjun keluar dari lori sebelum kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom memaklumkan mangsa tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pasukan bomba menggunakan bantuan jentera berat jenis excavator bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM tamat sepenuhnya pada jam 4.24 petang.
