CIS sumbang RM1 juta kepada SAFA

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi menyokong pembangunan bola sepak di negeri ini.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang, dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di pejabat SAFA, di sini.

Turut hadir, Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Khidmat Korporat CIS, Ezrie Ag Raini, serta Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.

Menurut Japlin, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk menyokong pembangunan sukan bola sepak di Sabah, termasuk dalam aspek pembangunan bakat dan peningkatan prestasi pasukan negeri.

“CIS percaya sukan bola sepak mampu menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang menurutnya memberi suntikan moral dan kewangan kepada SAFA.

Katanya, sumbangan berkenaan akan membantu usaha memperkasa pembangunan bola sepak Sabah pada masa akan datang.

Dalam pada itu, CIS berkata, sumbangan tersebut juga mencerminkan komitmen syarikat itu dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini.