Bung Moktar gesa pengundi Sabah tolak PN, anggap kenyataan ‘standard roti Gardenia’ memalukan

KOTA KINABALU: Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa pengundi di seluruh negeri — khususnya di DUN Darau dan Karambunai — untuk menolak Perikatan Nasional (PN) pada PRN Sabah kali ini.

Beliau menyifatkan tindakan serta kenyataan pemimpin PN kebelakangan ini sebagai sesuatu yang “memalukan rakyat Sabah”, termasuk sindiran yang melebalkan orang Sabah seperti “standard roti Gardenia”, yang tular beberapa hari lalu.

Menurut Bung, penghinaan sedemikian tidak sepatutnya datang daripada mana-mana blok politik yang mahu meraih undi rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah ada maruah. Bila ada pihak memperlekeh rakyat kita dengan kenyataan sebegitu, itu menunjukkan mereka tidak layak diberi mandat,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook hari ini.

Bung menegaskan, BN bersama rakan-rakan gabungan mahu memastikan Sabah dipimpin oleh pihak yang menghormati rakyat serta memahami sensitiviti tempatan.

Beliau menyeru pengundi Darau dan Karambunai keluar beramai-ramai pada 29 November untuk menolak parti yang “menghina dan merendahkan martabat rakyat Sabah”.