buaya berukuran 17 kaki ditembak, 4 ekor ditumpaskan dalam sehari di merotai

TAWAU: Suasana di Kampung Pangkalan Asli, Merotai, gempar semalam apabila seekor buaya gergasi sepanjang 17 kaki akhirnya ditembak selepas beberapa hari menjadi igauan ngeri penduduk.

Reptilia bersaiz luar biasa itu ditemui di tebing sungai berhampiran kawasan nelayan sebelum pasukan Jabatan Hidupan Liar (JHL) menjalankan operasi khas bagi menangkap haiwan berkenaan.

Menurut Timbalan Ketua Bahagian Merotai merangkap Ketua Kampung Pangkalan Asli, Mohammad Fakir, tindakan pantas itu diambil selepas pihaknya menerima aduan daripada nelayan yang bimbang keselamatan mereka akibat kelibat buaya berkenaan.

“Buaya ini amat besar, dianggarkan lebih 17 kaki panjang. Dalam tempoh 24 jam, ini adalah buaya keempat yang berjaya ditangkap di kawasan kampung kami,” katanya.

Penduduk mendakwa kelibat buaya sering muncul berhampiran jeti dan muara sungai sejak beberapa minggu lalu, dipercayai mencari mangsa atau sumber makanan.

“Ramai nelayan takut turun ke sungai, terutama pada waktu malam. Kami bersyukur operasi ini berjaya tanpa sebarang kecederaan,” tambahnya.

Kejadian itu turut menarik perhatian penduduk sekitar yang hadir menyaksikan proses penangkapan dan menzahirkan rasa lega selepas ancaman reptilia berkenaan berjaya dihapuskan.

Slogan “Anak Merotai, Merotai Kita” kini menjadi semangat penduduk untuk terus berganding bahu menjaga keselamatan komuniti mereka daripada ancaman buaya yang semakin kerap dilihat di kawasan sungai utama.