KOTA KINABALU: Sebuah bot penumpang dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas juragan dan dua kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dalam operasi rondaan di perairan Kota Kinabalu, semalam.
Bot berkenaan ditahan kira-kira 1.01 batu nautika barat laut Tanjung Lita.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kesemua individu terbabit dipercayai warganegara Filipina berusia antara 14 hingga 39 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan pasport, dokumen perjalanan atau permit sah.
“Bot bersama juragan dan kru terus ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM30,000.
Menurut beliau, Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang serta menjaga keselamatan perairan negara.
