Bot masuk perairan Kudat, 4 kru tiada dokumen dicekup

KUDAT:  Sebuah bot tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat selepas dikesan memasuki perairan negara kira-kira tujuh batu nautika barat Tanjung Simpang Mengayau.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot itu dipintas hasil maklumat Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah ketika bot ronda melaksanakan Op Sejahtera dan Op Khas Pagar Laut.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot berkenaan berdaftar di Malaysia, namun lesen operasi sudah tamat tempoh.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati empat kru termasuk tekong berusia 27 hingga 50 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua individu terbabit bersama bot itu ditahan sebelum diiring ke jeti untuk siasatan lanjut.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858.