Biasiswa juga untuk pelajar asasi, matrikulasi dan A-Level – Hajiji

KOTA KINABALU : Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) ditawarkan kepada pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level bermula tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, elaun biasiswa bagi semua pelajar tajaan yang sedang melanjutkan pengajian di universiti awam dan swasta akan turut diseragamkan.

Hajiji memyampaikan BKNS kepada salah seorang pelajar.

Katanya, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan BKNS bagi memastikan lebih ramai pelajar berpotensi mendapat akses kepada pendidikan tinggi.

“Tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukkan jumlah tertinggi untuk biasiswa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Daripada hanya RM50 juta pada tahun 2020, peruntukan BKNS telah meningkat setiap tahun sepanjang lima tahun lalu, dan mencapai RM136 juta pada tahun 2025.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM86 juta berbanding tahun 2019, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri membuat pelaburan yang besar untuk melaksanakan pelbagai inisiatif memberi manfaat kepada sejumlah 13,550 pelajar dari tahun 2021 hingga 2024.

Hajiji bergambar kenangan bersama penerima BKNS hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa komitmen Kumpulan Yayasan Sabah amat jelas dengan peruntukan sebanyak RM67.17 juta untuk sektor pendidikan tahun lalu, yang memberi manfaat kepada 3,234 pelajar.

Jumlah ini mencatat peningkatan ketara sebanyak 148.96 peratus berbanding hanya RM26.98 juta pada tahun 2020, katanya, sambil menambah bahawa seramai 10,104 penerima telah mendapat manfaat daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan beliau pada Jun 2022, melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM15.8 juta.

Beliau berkata melalui Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) lebih 48,000 pelajar di seluruh Sabah telah menerima manfaat dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM92.4 juta.

Hajiji berkata inisiatif-inisiatif ini akan terus membantu meningkatkan mutu pendidikan anak- anak Sabah serta menyokong pembangunan modal insan yang berkualiti.

Beliau turut menegaskan bahawa selaras dengan usaha memperkukuh dan mempelbagaikan inisiatif bantuan pendidikan di negeri ini, pelbagai jenis bantuan telah dilaksanakan melalui Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).

Tahun ini sahaja, katanya, sebanyak RM77.5 juta telah diperuntukkan bagi membiayai 14 inisiatif bantuan pendidikan, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara one-off (BUDI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS- SUBFLY); dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

“Inisiatif bantuan pendidikan ini turut disokong oleh agensi seperti Yayasan Kebajikan Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah, katanya.

Hajiji berkata, pelbagai bentuk bantuan pendidikan yang disediakan melalui jabatan dan agensi berbeza mencerminkan komitmen kuat Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan dan masa depan anak-anak Sabah.

“Kita akan terus memastikan bantuan ni disalurkan tanpa mengira latar belakang. Kepada golongan belia, belajarlah bersungguh- sungguh dan berusahalah mencapai kecemerlangan lebih tinggi.

“Terokailah bidang profesional seperti minyak, gas dan tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta Kecerdasan Buatan (AI), bagi melahirkan individu berkepakaran tinggi dan berkualiti dari Sabah dalam pelbagai sektor,” katanya.

Hajiji berharap anugerah ini menjadi dorongan kuat kepada para pelajar untuk terus cemerlang dan pada masa yang sama, membantu mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya juga ingin mengingatkan semua penerima supaya tidak menjadikan anugerah ini sebagai alasan untuk berasa selesa.

Sebaliknya, jadikan ia sebagai aspirasi untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, demi menyokong agenda Sabah Maju Jaya dan visi Madani negara.