Bayi Lelaki Ditinggal Dalam Kebun Sawit

Lahad Datu: Tangisan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan dalam kebun sawit menyentuh hati penduduk Kampung Sri Aman, Jalan Silam, di sini semalam.

Bayi cukup sifat itu ditemui masih hidup oleh orang awam kira-kira jam 8 pagi sebelum polis dihubungi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, bayi berkenaan segera dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

“Bayi lelaki itu ditemui dalam keadaan masih bernyawa dan kini berada dalam jagaan hospital.

”Polis kini sedang memburu individu yang dipercayai bertanggungjawab meninggalkan bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Dzulbaharin berkata, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” jelasnya.