KOTA MARUDU: Seorang bapa kandung dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Marudu selepas mengaku bersalah merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun.
Tertuduh berusia 37 tahun itu melakukan perbuatan terkutuk berkenaan di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di tepi Sungai Kisorong, Pitas, awal Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa pada 7 Januari lalu sebelum suspek ditahan pada hari sama oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Marudu.
“Hasil siasatan awal membawa kepada penahanan suspek dan rampasan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux serta beberapa helai pakaian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan dengan bantuan Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Pada 20 Januari lalu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan tidak ditawarkan jaminan.
Kes disebut semula pada 10 Februari sebelum tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah di hadapan Hakim A Akhiruddin Acho.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Simiun menegaskan polis memandang serius kes jenayah seksual, khususnya membabitkan ahli keluarga, dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelaku.
“Perbuatan ini adalah jenayah keji dan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
