Banjir Sampah Berulang Jejas Penduduk Kampung Boronuon

TELIPOK: Penduduk Kampung Boronuon di Telipok mendakwa terus berdepan kejadian banjir sampah berulang sejak lebih tiga dekad lalu, dipercayai berpunca daripada sistem perparitan dan pengurusan sisa yang tidak teratur di kawasan penempatan berbukit berhampiran.

Menurut penduduk, setiap kali hujan lebat, pelbagai jenis sampah termasuk botol plastik, tilam rosak, barangan elektrik dan sisa buangan rumah dihanyutkan ke sungai yang melalui kampung berkenaan, menyebabkan aliran air tersumbat sebelum melimpah ke kawasan perumahan.

Antara botol plastik serta sampah mengatur ke sungai tersebut.

“Asal hujan, sampah turun. Sudah lebih 30 tahun kami alami keadaan ini,” kata penduduk kampung, Jainin Kinsum, 65.

Seorang lagi penduduk, Jais Elah, 49, berkata paras air boleh meningkat sehingga dua kaki ketika hujan berterusan, selain membawa bersama sisa buangan dan bangkai haiwan yang menjejaskan kesihatan serta keselamatan penduduk.

“Sungai ini kini seperti tempat pembuangan. Bila banjir, semua sampah naik ke kawasan rumah,” katanya kepada Sabah News Today.

Penduduk mengaitkan masalah itu dengan penempatan semula di kawasan atas bukit yang didakwa tidak mempunyai sistem perparitan berfungsi dengan baik, menyebabkan sisa buangan terus mengalir ke kawasan rendah setiap kali hujan.

Penduduk kampung bersama-sama membersihkan timbunan botol sampah di sungai berkenaan.

Menurut mereka, aduan telah dikemukakan kepada pihak berkuasa sejak bertahun-tahun lalu, namun tindakan yang diambil setakat ini hanya bersifat sementara. Kerja pembersihan dan pengorekan sungai didakwa sekadar memberi kelegaan jangka pendek sebelum keadaan kembali berulang.

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah Kampung Boronuon antara paling terkesan, khususnya ketika musim hujan, apabila banjir sampah menjejaskan kebersihan persekitaran dan keselamatan kediaman.

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan penduduk berkenaan.