Bangunan Baharu Mahkamah Anak Negeri Putatan Siap Akhir Tahun Ini

PUTATAN: Mahkamah Anak Negeri (MAN) Daerah Putatan dijangka berpindah ke bangunan baharu yang kini dalam fasa akhir pembinaannya, dan dijadualkan siap pada penghujung tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya, berkata bangunan baharu tersebut akan menyediakan kemudahan yang lebih kondusif.

Katanya, ia seterusnya menawarkan perkhidmatan yang lebih efisien kepada masyarakat setempat.

“Bangunan baharu ini bukan sahaja akan memberikan keselesaan, malah ia dijangka dapat meningkatkan keberkesanan fungsi Mahkamah Anak Negeri Putatan dalam melaksanakan tugasnya untuk menyantuni masyarakat,” katanya di sini semalam.

Shahelmey merupakan Menteri Kerja Raya Sabah, turut memuji peranan yang dimainkan oleh MAN Putatan dalam membina hubungan lebih erat dengan masyarakat setempat.

“Program ini dilihat sebagai platform yang baik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang fungsi dan peranan MAN.

“Ia sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk mendapatkan maklumat tertentu,” jelasnya.

Menururnya, ia termasuk isu-isu seperti tuntutan harta, pengangkatan anak angkat, permohonan status anak negeri, dan lain-lain yang termaktub dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 (Pindaan 1995).

Shahelmey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, turut menekankan pencapaian ekonomi Sabah yang memberangsangkan di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada.

Beliau berkongsi bahawa untuk pertama kali dalam sejarah, pendapatan negeri melebihi RM7 bilion, manakala rizab negeri hampir mencecah RM8 bilion.

“Pencapaian ekonomi ini membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat.

“Ini termasuk program Rumah Mesra SMJ, bantuan pendidikan, pemberian peranti digital untuk pelajar, serta peluang pekerjaan dalam sektor industri dan pelancongan,” katanya.

Beliau menambah bahawa limpahan hasil ekonomi ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan negeri dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.