Baki Empat Calon GRS Diumum, Lengkapkan 55 Calon Hadapi PRN Sabah

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengumumkan baki empat lagi calon gabungan itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, dengan pengumuman tersebut, senarai penuh 55 calon GRS kini lengkap bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

“Empat calon terbabit ialah Dr Bonaventure Boniface bagi kerusi DUN N14 Tamparuli, Rafie Robert Tawik (N40 Bingkor), Samsiah Usman (N70 Kukusan) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (N73 Sebatik).

“Semua calon ini membawa latar belakang, bakat dan pengalaman yang pelbagai. Saya yakin mereka berupaya untuk memenangi pilihan raya ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hajiji turut menyeru semua penyokong GRS supaya bersatu dan bekerja keras memastikan kemenangan gabungan itu, sekali gus memberikan mandat baharu kepada kerajaan pimpinan GRS untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

Terdahulu, pada Rabu lalu, Hajiji mengumumkan 51 calon GRS yang terdiri daripada gabungan pemimpin berpengalaman serta calon muda, dengan 35 peratus merupakan muka baharu.