Baja Karbon ‘Made in Tawau’ Pacu Pertanian Lestari

TAWAU: Inovasi baja karbon keluaran Kumpulan Teck Guan diyakini mampu mengubah landskap pertanian negara serta menjamin keselamatan makanan.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, langkah itu hadir tepat ketika negara berdepan cabaran cuaca tidak menentu dan kesan penggunaan baja kimia terhadap hasil tanaman.

“Alhamdulillah, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan hasil pertanian malah turut menjamin keselamatan makanan negara. Usaha ini wajar dikongsi bersama petani di seluruh Malaysia,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Teck Guan, Avito Hong Daa Yee berkata, baja karbon dihasilkan daripada tiga bahan utama iaitu molases, mikroorganisma dan baja, sekali gus mampu memulihkan tanah tercemar serta meningkatkan kualiti hasil pertanian.

“Baja karbon membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia, menjimatkan pertukaran asing dan meningkatkan pendapatan petani,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Teck Guan, Datuk Hong Ngit Ming berkata, inovasi tersebut membuktikan kemampuan bakat tempatan membawa teori dan teknologi dari Tawau ke peringkat global.

“Kami menamakan konsep ini sebagai MIT Theory atau Made in Tawau Theory yang memberi manfaat bersama serta mewujudkan kesejahteraan,” katanya.