KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menegaskan bahawa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di negeri ini kekal harmoni dan stabil, sekali gus menolak persepsi wujudnya pergolakan dalaman seperti yang dilaporkan sebuah portal berita semalam.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil, berkata laporan Malaysiakini bertarikh 11 Oktober bertajuk “Isu Calon Payung Terjun Buat PKR Sabah di Ambang Gelora” tidak menggambarkan situasi sebenar dalam parti.
“Pertemuan antara pimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah dan Ketua-Ketua Cabang baru-baru ini berjalan dalam suasana harmoni, penuh persahabatan dan semangat kekeluargaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaidi menjelaskan, sesi berkenaan merupakan ruang sihat bagi mendengar pandangan akar umbi serta memperkukuh koordinasi antara cabang dan pimpinan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Beliau menegaskan bahawa suara dan pandangan Ketua Cabang serta pimpinan negeri perlu dihormati dan dilibatkan dalam proses penentuan calon, selaras dengan prinsip musyawarah yang diamalkan parti.
“KEADILAN Sabah kekal fokus kepada misi reformasi yang dipimpin oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN merangkap Perdana Menteri, demi memperjuangkan keadilan sosial dan nilai MADANI untuk rakyat Sabah,” ujarnya.
Zaidi turut menegaskan bahawa AMK Sabah akan terus menjadi benteng muda yang memperjuangkan politik nilai, kesetiaan kepada perjuangan dan solidariti dalam parti.