KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menegaskan setiap jawatan yang disandang dalam sektor awam adalah amanah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan sekadar gelaran.
Beliau berkata, semua pihak perlu memastikan perkhidmatan yang diberikan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan pekebun kecil dan komuniti luar bandar.
“Jangan kita berbangga dengan jawatan, tetapi gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Amanah kita adalah untuk memastikan rakyat dilayani sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah baharu LIGS di Wisma Pertanian.
Jamawi berkata, beliau turut memantau aduan rakyat termasuk melalui media sosial dan memastikan tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan.
“Saya ambil tangkap layar aduan di Facebook dan hantar kepada pengurusan. Keesokannya, tindakan terus dilaksanakan. Kita bekerja untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan baharu dalam LIGS perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh peranan organisasi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, kebanyakan rakyat luar bandar hanya memerlukan kemudahan asas seperti jalan yang baik dan kemudahan yang sempurna.
“Mereka tidak minta perkara besar, tetapi perkara asas. Itu yang perlu kita beri perhatian,” katanya.
