Albert Tei Disekat Masuk Sabah, Tidak Tunjuk Dokumen Mahkamah

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan tindakan menyekat kemasukan usahawan kontroversi, Tei Jiann Cheing atau Albert Tei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada 23 Oktober lalu dibuat mengikut prosedur ditetapkan.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semakan mendapati nama individu itu masih berada dalam senarai Notis Arahan Sekatan (NAS) yang hanya membenarkan beliau masuk ke Sabah untuk hadir prosiding mahkamah.

“Semasa pemeriksaan, beliau memaklumkan hanya datang bertemu rakan dan tidak mengemukakan surat panggilan mahkamah atau apa-apa bukti tujuan kemasukan. Atas sebab itu pegawai bertugas mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NPM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Albert sebelum ini pernah dibenarkan masuk pada September lalu selepas mengemukakan dokumen panggilan mahkamah, dan menunjukkan beliau sedar syarat kemasukan yang perlu dipatuhi.

Sitti Saleha menegaskan dakwaan peguam individu berkenaan yang mengatakan anak guamnya dihalang menghadiri prosiding mahkamah adalah tidak tepat.

“Tindakan pegawai dibuat mengikut undang-undang tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. JIM sentiasa menjaga keselamatan serta kedaulatan negeri dan negara,” katanya.