TAWAU: Lega dan syukur. Itulah luahan 24 peniaga kecil di Pasar Sri Tanjung, Tawau selepas Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bersetuju mengekalkan mereka untuk terus berniaga di tapak asal.
Keputusan itu dicapai selepas beberapa minggu peniaga terbabit bimbang akan dipindahkan berikutan projek pembesaran Klinik Kesihatan UTC di kawasan bersebelahan pasar berkenaan.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah, berkata keputusan tersebut membawa kelegaan besar kepada semua pihak dan membuktikan keprihatinan MPT terhadap nasib rakyat kecil yang bergantung kepada hasil jualan harian.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak MPT kerana mendengar rintihan para peniaga. Mereka ini bukan sahaja mencari rezeki untuk diri sendiri, tetapi juga menyara keluarga.
Keputusan mengekalkan tapak sedia ada ini sangat bermakna buat mereka,” katanya ketika ditemui di Tawau.
Liew menjelaskan, pihaknya menerima aduan daripada peniaga kecil termasuk penjual kuih-muih, daging dan hasil segar yang bimbang kehilangan pelanggan sekiranya dipindahkan ke lokasi baharu.
Menurutnya, Naib Presiden PHRS, Datuk Lim Yin Kat, turut turun padang meninjau keadaan serta berbincang dengan pihak MPT bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Kita menyokong usaha kerajaan menaik taraf kemudahan kesihatan. Namun dalam masa sama, kebajikan rakyat kecil tidak boleh diabaikan. Pendapatan mereka boleh terjejas sekiranya pemindahan dibuat tergesa-gesa,” jelasnya.
Hasil perbincangan positif antara semua pihak akhirnya membawa kepada keputusan yang memihak kepada peniaga. Liew menyifatkan langkah MPT itu sebagai contoh terbaik kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat.
“Pembangunan mesti diteruskan, tetapi ia perlu seiring dengan keprihatinan terhadap rakyat. Pendekatan menang-menang seperti ini harus dijadikan budaya dalam setiap projek pembangunan di Sabah,” tegasnya.
