PITAS – Penantian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongkul di sini untuk menikmati bekalan air bersih akhirnya menjadi kenyataan selepas Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melaksanakan projek Makmal Hidup Mikro Logi Rawatan Air Bersih di sekolah berkenaan.
Projek inovatif itu diketuai oleh Dr. Nur Zaida Zahari dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMS dengan sokongan Dana Living Lab UMS, memberi manfaat kepada lebih 180 pelajar asrama yang sebelum ini terpaksa berdepan masalah air tercemar dan risiko penyakit kulit.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Dr. Rosalam Sarbatly, sistem rawatan berasaskan reka bentuk modular kejuruteraan itu bukan sekadar menapis air, malah mampu memantau kualiti air secara pintar menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT).
“Melalui sistem ini, UMS boleh memantau kualiti air secara langsung dari kampus induk di Kota Kinabalu. Ini memastikan pelajar sentiasa menikmati bekalan air yang bersih dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum projek itu dilaksanakan, sumber air utama sekolah dikatakan tercemar akibat sistem kumbahan lama yang rosak, sekali gus menyebabkan kandungan bakteria E. coli tinggi dan pelajar sering mengalami masalah kulit serta gatal-gatal.
Audit dan penarafan terhadap makmal hidup tersebut diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy dari Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UMS bagi menilai keberkesanan sistem dan impaknya terhadap komuniti setempat.
Dr. Rosalam berkata, kejayaan projek ini membuktikan bahawa hasil penyelidikan universiti bukan hanya kekal di makmal, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk masyarakat luar bandar.
Beliau turut memaklumkan, UMS akan menambah baik sistem sedia ada dengan penggunaan teknologi membran termaju serta mengalu-alukan kerjasama pihak industri dan korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menaik taraf sistem kumbahan dan tangki septik sekolah.
