Agihan kerusi PRN17 perlu dibincang secara dalaman bukan secara terbuka – Masiung

KUDAT : Agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah  dibincang secara dalaman menerusi semangat kekeluargaan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS)sekali gus tidak dibuat secara terbuka.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masiung Banah berkata, sebarang tuntutan kerusi parti komponen GRS wajar dibuat secara tertutup bagi mengelak rakyat terbawa dengan politik melampau.

Katanya, GRS merupakan dalam satu keluarga besar, lebih teliti jika ia dibincang di peringkat tertinggi komponennya.

“Di peringkat dalaman Gagasan Rakyat sendiri setakat ini belum ada dibincang mengenai perkara berkaitan agihan kerusi ini.

“Isu agihan kerusi menghangatkan lagi polemik mengenai persiapan GRS dan PH menghadapi PRN yang mesti diadakan selewat-lewatnya akhir tahun depan,” katanya kepada pemberita sejurus merasmikan Mesyuarat Agung Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Kapor, di sini semalam.

Gagasan Rakyat Bahagian Tanjung Kapor diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chong Chen Bin @ Ben Chong.

Masiung berkata, beliau mahu semua pemimpin parti dalam GRS dan PH di peringkat negeri Sabah tidak memberi kenyataan secara terbuka berhubung agihan kerusi, kerana ia boleh mengeruhkan hubungan baik dalam gabungan.

“Biarlah kita serahkan kepada pemimpin utama GRS dan PH untuk membincangkan perkara itu, janganlah pemimpin peringkat akar umbi membuat andaian, nanti ia boleh mengundang salah faham,” jelas Masiung.

Lebih 1,000 perwakilan termasuk wakil pemimpin dalam GRS dan PH hadir pada majlis itu yang diadakan di Dewan Tun Mustapha Kudat.