PUTATAN: Penduduk di sekitar Putatan, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, digesa supaya lebih peka terhadap kebersihan parit bagi mengelakkan penularan wabak denggi serta kejadian banjir kilat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi memastikan masalah berkaitan perparitan dapat ditangani secara berkesan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, penduduk disaran segera melaporkan sebarang isu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Putatan (MDPT) dan agensi berkaitan supaya tindakan susulan dapat diambil dari semasa ke semasa.
“Masalah parit tersumbat, kotor dan dipenuhi sampah bukan hanya tanggungjawab satu pihak. Ia memerlukan kerjasama antara penduduk dan pihak pelaksana termasuk PBT,” katanya.
Shah Alfie berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan walkabout di kawasan perumahan Taman Bersatu, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, tindakan proaktif perlu diambil tanpa menunggu aduan rasmi memandangkan isu perparitan memberi kesan langsung kepada kesihatan dan keselamatan penduduk.
Dalam pada itu, beliau berkata maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat adalah positif, khususnya berkaitan masalah perparitan dan lampu jalan.
Hasil tinjauan mendapati terdapat beberapa longkang dan parit yang tersumbat serta mengalami kerosakan struktur, yang memerlukan perhatian lanjut.
Katanya, isu berkenaan akan dibawa ke peringkat seterusnya bagi memastikan tahap keselesaan dan keselamatan penduduk terus terpelihara.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Keramat, Latip Jiar; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib; Penolong Pegawai Daerah Pembangunan, Hafiz Murneh serta wakil Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air Negeri Sabah dan syarikat konsesi terlibat.
