LABUAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan sekitar jam 12.30 tengah malam hingga 2.30 pagi di sini semalam.
Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, kesemua individu berusia antara empat bulan hingga 59 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada enam wanita dewasa, tiga lelaki dewasa, tujuh kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki.
“Operasi berkenaan dilaksanakan di empat lokasi sekitar Labuan dengan kekuatan seramai 22 pegawai penguat kuasa.
“Dalam operasi sama, seramai 46 individu telah diperiksa dan dua notis saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Labuan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Tegasnya, pihak JIM tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pemerdagangan Orang termasuk majikan dan individu yang melindungi PATI,” ujarnya.
Seramai 20 PATI warga Filipina ditahan dalam operasi awal pagi oleh JIM Labuan.
Operasi di empat lokasi itu melibatkan 22 pegawai, dengan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
