KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membina Pusat Pemuliaan Al-Quran bernilai RM3 juta di Kinarut tahun ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pusat itu akan menjadi lokasi khas untuk melupuskan Al-Quran lama atau bahan bercetak yang mengandungi ayat suci dan telah rosak, selaras dengan garis panduan Islam.
“Peruntukan bagi pembinaan pusat ini telah diluluskan dan tempoh pembinaan dijangka mengambil masa kira-kira setahun,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, hari ini.
Beliau berkata, pusat itu akan diselenggarakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
“Ketika ini, kemudahan seumpama itu hanya terdapat di Tawau, namun kerajaan negeri mengambil inisiatif mewujudkan sebuah pusat khas di Kinarut,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin memaklumkan kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan Tun Musa mengenai penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah (MTHQNS) yang akan berlangsung dari 10 hingga 13 Februari ini.
Menurutnya, majlis itu akan diadakan di Dewan Saadah, Wisma MUIS, bermula dengan konvensyen Al-Quran sebelum disusuli pertandingan tilawah dan hafazan bagi kategori remaja serta dewasa.
Majlis penutupan dijadualkan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri pada Jumaat.
Sementara itu, beliau berkata kerja-kerja naik taraf Masjid Negeri Sabah masih diteruskan, namun bahagian bawah masjid telah siap dan boleh digunakan sementara untuk solat fardhu serta solat Jumaat.
“Bagi Dewan Utama, kerja naik taraf masih berjalan dan ditutup sementara. Penambahan ruang di kawasan perkarangan dalam turut dirancang bagi menampung kapasiti jemaah,” katanya.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih dan Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Hussin.
