KOTA KINABALU: Sokongan masyarakat Cina di Sabah dilihat semakin berpihak kepada kerajaan negeri diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), kata Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah, Azrul Ibrahim.
Beliau berkata, walaupun pengundi Cina sebelum ini dilihat memilih parti pembangkang pada PRN17, hasil kajian mendapati mereka sebenarnya meletakkan harapan kepada kerajaan GRS.
Menurutnya, pengundi Cina menolak calon parti nasional yang bekerjasama dengan GRS di kawasan majoriti Cina kerana sentimen tempatan yang kuat ketika pilihan raya itu.
“GRS tidak bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina kerana memberi laluan kepada rakan Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan PKR.
“Bagaimanapun, pandangan pihak yang membuat kajian mendapati pengundi Cina sebenarnya memberi harapan kepada GRS,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat, di sini hari ini.
Azrul berkata, dasar kerajaan negeri yang bersifat inklusif menjadi antara faktor sokongan masyarakat Cina semakin meningkat.
Antaranya ialah pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) serta pemberian biasiswa kepada pelajar Cina yang memiliki sijil itu.
“Setakat ini, 37 pelajar pemegang UEC menerima bantuan biasiswa. Ini membuktikan kerajaan mengambil kira keperluan masyarakat Cina,” katanya.
