KOTA BELUD – Aktiviti pengorekan pasir dan batu di Sungai Kadamaian perlu dikawal ketat dan dilaksanakan khusus bagi tujuan pengurangan risiko banjir, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Menurut beliau, sebarang aktiviti yang dijalankan tanpa kebenaran atau tidak mematuhi prosedur operasi piawai (SOP) boleh menjejaskan matlamat mitigasi banjir serta membawa implikasi perundangan kepada pihak terlibat.
“Saya telah meminta pihak berwajib supaya memastikan tiada aktiviti dijalankan di luar konteks pengurangan risiko banjir pasca gempa bumi 2015 di kawasan sungai Kota Belud,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan berkaitan isu pengorekan pasir dan batu di sepanjang Sungai Kadamaian.
Mohd Arsad memaklumkan setakat ini hanya Qhazanah Sabah, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri, dibenarkan menjalankan operasi secara sah kerana mematuhi SOP yang ditetapkan.
Menurutnya, pelaksanaan usaha mitigasi banjir secara berterusan telah memberi kesan positif apabila kekerapan banjir menunjukkan penurunan ketara, khususnya di kawasan DUN Usukan dan DUN Tempasuk.
Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja mitigasi perlu dilakukan secara konsisten memandangkan sungai sering mengalami pengisian semula pasir setiap kali hujan turun di kawasan Gunung Kinabalu.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan permohonan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendapatkan peruntukan Persekutuan bagi kerja mendalamkan muara Sungai Kuala Abai masih belum diluluskan dan akan dikemukakan semula.
“Saya akan terus memantau perkara ini demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan awam,” katanya.
