DCMM MLBB Championship lonjak potensi e-sukan belia Moyog

PENAMPANG : Penganjuran Final Datuk Ceasar Mandela Malakun (DCMM) Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Championship dilihat sebagai langkah strategik dalam melahirkan bakat e-sukan serta membina disiplin dan perpaduan belia di kawasan Moyog.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, kejohanan itu bukan sekadar pertandingan permainan digital, sebaliknya satu platform pembangunan belia yang memberi pendedahan kepada nilai profesionalisme, kerjasama berpasukan dan semangat kesukanan.

“Sejak Ogos hingga Oktober 2025, kejohanan ini menjelajah 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Moyog melalui empat siri pertandingan dan melibatkan lebih 100 belia,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar ITCC Shopping Mall, Benjamin Malakun, pada majlis final yang berlangsung di ITCC Shopping Mall, di sini, semalam.

Menurut Mandela yang juga Ketua Bahagian PGRS Moyog, program itu dihentikan sementara bagi menghormati proses demokrasi sempena Pilihan Raya Negeri Sabah pada November lalu.

“Ia kemudiannya diteruskan semula selari dengan pembentukan Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemuda PGRS Moyog yang diketuai Ketua Pemudanya, Lee Ka Lik, serta seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen tinggi menjayakan kejohanan berkenaan.

“Penganjuran ini membuktikan keupayaan belia tempatan mengendalikan acara berskala besar secara tersusun dan profesional,” katanya.

Dalam pada itu, Benjamin berkata ITCC Shopping Mall komited untuk terus menyokong program pembangunan belia dan e-sukan, termasuk menjadikan DCMM MLBB Championship sebagai acara tahunan di daerah Moyog dan Penampang.

Kejohanan itu turut mencuri perhatian apabila menerima penyertaan pasukan orang kurang upaya (OKU) pendengaran, sekali gus menyerlahkan sifat inklusif e-sukan yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kekangan fizikal.

Mengulas perkembangan industri e-sukan, Mandela berkata bidang itu kini berkembang pesat dan menawarkan pelbagai peluang kerjaya termasuk sebagai atlet profesional, jurulatih, penganalisis, pencipta kandungan digital serta penganjur acara.

“E-sukan bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya satu industri global yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, sekali gus membuka laluan baharu kepada belia untuk membina masa depan,” katanya.