KBDS rancang dua program besar perkasa bahasa Dusunik Sabah

RANAU: Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah (KBDS) merancang dua program berskala besar tahun ini bagi memperkasa dan memartabatkan bahasa Dusunik di negeri itu.

Presidennya, Datuk Lawrence Gimbang, berkata dua inisiatif tersebut ialah projek komuniti bahasa Dusunik dan Karayahon Boros Dusunik (Kebanggaan Bahasa Dusunik).

Menurutnya, antara pengisian utama projek komuniti bahasa Dusunik ialah sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Bundu yang dilaksanakan di Tadika Kampung Lingkudou dan Tadika Kampung Kinorotuan, Ranau.

“Program sama juga dirancang untuk diadakan di Tadika Kampung Togudon, Ranau, yang akan dikendalikan oleh Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah dan Sitiminah Sahat,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa KBDS di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Lawrence berkata program tersebut bertujuan memperkenalkan Bahasa Bundu dan Bahasa Liwan sebagai bahasa komuniti kepada kanak-kanak peringkat tadika di daerah berkenaan.

Jika berjalan lancar, katanya, pelaksanaan program itu disasarkan selepas Mac 2026.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung KBDS, Petrus Guriting.

Sementara itu, Lawrence berkata program Karayahon Boros Dusunik yang bertemakan Koturompuson Boros (Kelancaran Bahasa) akan dilaksanakan melalui tiga kategori utama, iaitu Mogirurumo (perbincangan kumpulan), Monunturu (kraftangan) dan Mananggarung (fesyen).

Beliau menjelaskan objektif program itu adalah untuk menghidupkan semula, membangunkan serta meneruskan penggunaan bahasa Dusunik dalam kalangan masyarakat.

KBDS merancang untuk melaksanakan program berkenaan di tiga lokasi berasingan, iaitu Apin-Apin pada 20 Jun, Ranau pada 18 Julai dan Tuaran pada 19 September 2026.