KOTA KINABALU:Parti Warisan Sabah (WARISAN) mempersoalkan kelewatan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Sabah berkaitan hak 40 peratus hasil bersih negeridi bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), meskipun garis masa jelas telah ditetapkan oleh mahkamah.
Setiausaha Agung Presiden Warisan, Datuk Lorreto S. Padua menegaskan isu berkenaan bukan soal rundingan, kerangka kerja atau jawatankuasa teknikal, sebaliknya menyentuh kewajipan mematuhi perintah mahkamah dalam perkara perlembagaan.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi Sabah telah mengarahkan kedua-dua kerajaan untuk bertindak terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah dengan menetapkan semakan baharu dalam tempoh 90 hari serta langkah ke arah pelaksanaan dalam tempoh 180 hari.
Bagaimanapun, beliau berkata tempoh 90 hari tersebut telah pun berlalu tanpa sebarang kemajuan konkrit, termasuk kegagalan mencapai persetujuan, ketiadaan kejelasan angka, tiada perkongsian data kewangan serta ketiadaan pelan pelaksanaan yang jelas.
Beliau turut mengingatkan bahawa pertemuan rasmi antara kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini berlaku ketika Sabah berada di bawah kerajaan sementara, dan sejak pembentukan kerajaan negeri baharu, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung hala tuju pelaksanaan perintah mahkamah itu.
Menurut Loretto, tindakan membawa perkara tersebut ke mahkamah oleh Sabah Law Society dibuat selepas Sabah dinafikan haknya selama beberapa dekad, dan Mahkamah Tinggi telah mengiktiraf ketidakadilan itu serta mengarahkan ia diperbetulkan.
Beliau berkata kegagalan melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi, termasuk berlindung di sebalik istilah seperti “kerangka” atau “perbincangan berterusan”, hanya mengulangi kelemahan pentadbiran yang cuba ditamatkan melalui keputusan mahkamah.
Tambahnya, apabila perintah Mahkamah Tinggi dalam isu perlembagaan dianggap fleksibel atau pilihan, ia bukan sahaja mencabar prinsip kedaulatan undang-undang, malah mewujudkan preseden berbahaya terhadap kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
“Perintah mahkamah bukan perkara boleh ditangguhkan mengikut keselesaan politik. Hak perlembagaan Sabah tidak boleh dirunding dan tidak sepatutnya terus tergantung,” katanya.
