SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Siri 1/2026 bagi kategori usir melalui laut, melibatkan seramai 844 warganegara Filipina, pada 15 Januari lalu.
Pemindahan tersebut dilakukan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menerusi pengangkutan laut menggunakan Vessel MV Antonia 1.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tahanan yang terlibat terdiri daripada 519 lelaki dewasa, 215 perempuan dewasa, 92 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah serta 18 bayi berusia 23 bulan ke bawah.
Menurut beliau, kanak-kanak yang dihantar pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing, dengan umur keseluruhan tahanan terlibat antara dua bulan hingga 72 tahun.
“Setakat awal tahun ini, seramai 858 warganegara asing telah dipindahkan pulang ke negara asal, melibatkan 850 warga Filipina, enam warga Pakistan, seorang warga Vietnam dan seorang warga China melalui laluan laut dan udara,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.
Menurutnya, majikan yang didapati melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 boleh dikenakan denda, hukuman penjara serta sebatan, sekiranya sabit kesalahan.
