Sabah mohon 45,000 komputer riba, 68 sekolah masih tanpa internet

KOTA KINABALU:  Kerajaan Sabah memohon 45,000 unit komputer ribadaripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi kegunaan sekolah, ketika puluhan sekolah di negeri ini masih berdepan kekangan asas seperti ketiadaan internet dan bekalan elektrik.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata,  permohonan itu melibatkan sekolah prasekolah, rendah dan menengah, namun pelaksanaannya tertakluk sepenuhnya kepada kelulusan pihak persekutuan melalui MCMC.

Beliau berkata, komputer riba berkenaan tidak akan diberikan kepada pelajar secara individu, sebaliknya ditempatkan di sekolah dan diuruskan secara berpusat melalui kemudahan seperti bilik sumber.

Menurut James, MCMC juga dirancang membekalkan papan pintar (smart board) bagi menyokong pembelajaran digital, selari dengan sasaran jangka panjang kerajaan negeri untuk memperluas penggunaan teknologi dalam bilik darjah.

Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran asas masih wujud apabila sebanyak 68 sekolah di Sabah dikenal pasti belum mempunyai capaian internet, manakala sebahagian lagi masih tidak menikmati bekalan elektrik, memerlukan penyelesaian interim melalui internet satelit Starlink dan sistem tenaga solar.

“Jurang ini perlu ditangani segera supaya Sabah tidak terus ketinggalan dari segi teknologi pendidikan, termasuk pendedahan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Sabah kini mempunyai kira-kira 1,300 buah sekolah, dengan latihan pengajaran digital kepada guru turut dirancang secara berperingkat bagi menyokong penggunaan peralatan teknologi yang dicadangkan.

James berkata Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan merumuskan keperluan sebenar sekolah sebelum satu permohonan rasmi dikemukakan kepada Menteri MCMC, termasuk jumlah peruntukan yang masih belum dimuktamadkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Dana Pendidikan Negeri Sabah akan terus menampung pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke Semenanjung.

Manakala sementara cadangan diskaun tambang penerbangan masih di peringkat perbincangan antara agensi berkaitan.