KOTA KINABALU: Projek Tebatan Banjir Rampayan Fasa Pertama bernilai RM36 juta yang dilaporkan hampir siap sepenuhnya didakwa gagal berfungsi, apabila kawasan berkenaan kembali dilanda banjir baru-baru ini, sekali gus menambah penderitaan penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata kegagalan projek yang telah mencapai 95 peratus kemajuan itu menimbulkan persoalan serius terhadap perancangan, pelaksanaan dan keberkesanan sebenar projek tebatan banjir tersebut.
Menurutnya, penduduk terus berdepan risiko setiap kali hujan lebat, walaupun projek bernilai puluhan juta ringgit telah dilaksanakan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan nyawa dan harta benda mereka.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan laporan audit teknikal serta penilaian keberkesanan projek yang sehingga kini masih belum didedahkan kepada umum, menyebabkan tahap ketelusan pengurusan projek berkenaan dipersoalkan.
Selain itu, Azhar menegaskan kelewatan kelulusan Projek Fasa Kedua bernilai RM39 juta, yang hanya diberikan selepas Fasa Pertama hampir siap, adalah sukar diterima memandangkan isu banjir telah berulang kali dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu.
“Isu asas seperti pendalaman dan pelebaran sungai, kerja-kerja pengorekan serta masalah hakisan tebing telah lama disuarakan, namun masih belum ditangani secara menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar penjelasan segera dan telus diberikan kepada rakyat berhubung kegagalan projek berkenaan, selain menggesa supaya pelaksanaan Fasa Kedua dimulakan dengan segera, tanpa sebarang kelewatan, demi menjamin keselamatan penduduk dan mengelakkan bencana berulang.
