KOTA KINABALU : Paras air di Tangki R13 yang dikendalikan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sering berada di bawah tahap minimum, menyebabkan gangguan kepada sistem bekalan air ke dalam kampus universiti itu.
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pemantauan berkala oleh pasukan teknikal universiti mendapati paras air di tangki berkenaan tidak konsisten dan tidak berada pada tahap optimum untuk pengepaman.
Katanya, pada waktu tertentu paras air berada di bawah tahap minimum sekali gus menyukarkan operasi pengepaman ke sistem bekalan dalaman kampus.
“Bukti bergambar serta data paras air telah direkodkan dan boleh dikemukakan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk rujukan lanjut.
“Walaupun JANS memaklumkan sebanyak 34 juta liter air disalurkan setiap hari ke Tangki R13, bekalan itu tidak diperuntukkan secara eksklusif kepada UMS,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Rahman merupakan Timbalan Ketua UMNO Sabah berkata, tangki ini turut menyalurkan air kepada kawasan utara Kota Kinabalu yang sedang pesat membangun.
“Ini termasuk Sepanggar, Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), taman-taman perumahan dan Hospital Likas.
“UMS menghadapi kesukaran mengepam air dari tangki berkenaan ke kampus, terutamanya ketika waktu puncak disebabkan bekalan tidak mencukupi,” jelas Rahman.
Menurutnya, keadaan ini menjejaskan keupayaan UMS untuk menyalurkan air secara berkesan ke seluruh kawasan kampus khususnya kolej kediaman pelajar.
“UMS mempunyai tiga unit pam yang masih berfungsi dengan baik walaupun telah digunakan sekian lama.
“Buktinya sehingga hari ini jika aras air dalam tangki R13 mencukupi untuk dipam, proses pengepaman bekalan air ke UMS tidak bermasalah,” katanya.
Beliau menegaskan jadi masalah air di UMS ini bukan disebabkan oleh sistem pam UMS yang tidak efektif, tetapi kerana paras air dalam tangki R13 tidak mencukupi untuk di pam.
“UMS dimaklumkan oleh Menteri Kerja Raya Sabah kerja-kerja penyambungan paip dari Loji Rawatan Air Telibong 2 Fasa 2 ke kawasan utara Kota Kinabalu dijangka siap dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Saya yakin apabila saluran air dari loji tersebut yang berkapasiti 80 juta liter sehari mula disalurkan, isu gangguan bekalan air di UMS akan dapat diselesaikan,” katanya.
