SANDAKAN: Seramai 699 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Program Pemindahan Tahanan Siri 20/2025 kelmarin, menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Kesemua tahanan dibawa keluar melalui Pelabuhan Sandakan menggunakan kapal MV Antonia 1, termasuk 430 lelaki, 128 wanita, 119 kanak-kanak berusia 2 hingga 12 tahun, dan 22 bayi. Kanak-kanak dihantar pulang bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tahanan dipindahkan dari tiga depot iaitu Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan. Usia tahanan paling muda empat hari dan tertua 77 tahun, dengan semua tahanan memiliki dokumen perjalanan sah selepas menjalani hukuman.
“Setakat ini, JIM Sabah telah memindahkan 9,804 warga asing ke negara asal tahun ini, termasuk 7,635 warga Filipina, 1,757 warga Indonesia, 252 Pakistan, dan lain-lain,” katanya.
Sitti Saleha menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan majikan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah. Majikan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menyeru kerjasama pihak kedutaan bagi mempercepatkan pengeluaran ‘Travel Document’ agar tahanan tidak berada lama di depot.
“Usaha penghantaran pulang PTI akan terus diperhebat dari semasa ke semasa untuk menangani isu kemasukan tidak sah di Sabah secara menyeluruh,” katanya.
