TENOM: Dewan SM Tsung Shin Tenom semalam menjadi pentas pertarungan penuh mendebarkan apabila 68 pasukan dari seluruh daerah turun merebut kejuaraan dalam Kejohanan Bola Keranjang 3×3 Piala Datuk Jamawi Jaafar Tenom 2025.
Berlangsung meriah dari awal hingga akhir, kejohanan anjuran Kelab Bola Keranjang Golden Bridge Tenom itu menampilkan lima kategori utama dengan hadiah keseluruhan RM9,600 sebagai taruhan yang mencuri tumpuan ramai.
Persaingan sengit dapat dilihat apabila setiap pasukan mempertaruhkan strategi dan skil terbaik dalam usaha merebut gelaran juara.
Ini sekali gus mencerminkan perkembangan pesat sukan bola keranjang dalam kalangan belia pedalaman Sabah.
Tetamu kehormat, Datuk Jamawi Jaafar yang menaja sepenuhnya penganjuran dan hadiah kejohanan itu berkata, bola keranjang kini menjadi medium penting untuk membentuk generasi belia yang lebih berkualiti, aktif dan berdisiplin.
“Kita mahu belia terus aktif dalam sukan. Ia bukan hanya menyihatkan badan, tetapi menyatukan komuniti serta membuka peluang kepada bakat baharu untuk diketengahkan,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada penganjur yang berjaya menganjurkannya buat pertama kali.
Dengan sambutan luar biasa, kejohanan ini dijangka dijadikan acara tahunan bagi memastikan pembangunan sukan di Tenom terus melonjak.
Ini sekali gus mengangkat martabat daerah itu sebagai pusat kecemerlangan bola keranjang di pedalaman Sabah.
