6 Ditahan SPRM Sabah Kes Tuntutan Palsu RM1.3 Juta

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan enam individu termasuk empat pegawai awam badan berkanun persekutuan dan dua pekerja syarikat agensi pelancongan disyaki terlibat dalam tuntutan palsu pembelian tiket kapal terbang membabitkan nilai kira-kira RM1.3 juta.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an, ditahan kira-kira jam 9.30 malam, Ahad, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.

Siasatan awal mendapati tuntutan dibuat menggunakan waran perjalanan udara, namun butiran penerbangan dipercayai dipalsukan dan tiada tiket penerbangan dibekalkan kepada pegawai serta kakitangan terlibat.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu.

Beliau berkata, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada pagi ini bagi membantu siasatan lanjut dan tangkapan susulan tidak ditolak bergantung kepada perkembangan kes.