50 Sertai Program Plogging di Bukit Kubong

LABUAN: Seramai 50 peserta menyertai program Mayang Sari Sunset Mai Tah Plogging yang berlangsung di Bukit Kubong pada 8 Februari lalu.

Program berasaskan komuniti yang bermula seawal jam 6.30 pagi itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat sambil memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.

Peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan, pelari serta sukarelawan telah berjoging sambil mengutip sampah di sepanjang laluan Bukit Kubong. Aktiviti plogging tersebut menjadikan senaman pagi lebih bermakna apabila digabungkan dengan usaha memelihara kebersihan kawasan rekreasi.

Penganjuran program secara percuma itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah sebagai penghargaan kepada peserta. Selain itu, setiap peserta berdaftar menerima barangan cenderamata, e-sijil, e-pingat dan e-lencana.

Menurut penganjur, program berkenaan dianjurkan bagi menggalakkan gaya hidup aktif, meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar serta memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan komuniti.

Pihak penganjur berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dan menjadi inspirasi kepada lebih banyak program berteraskan komuniti demi memastikan kawasan awam sentiasa bersih dan terpelihara.