43 PATI China Ditahan Dalam Operasi Imigresen Ranau

RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan seramai 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara China dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Ranau.

Menurut kenyataan rasmi dilaman facebook, dalam dua operasi hasil risikan seminggu serta aduan awam, pemeriksaan ke atas 49 individu mendapati 43 lelaki dewasa tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau pas yang sah.

Operasi bersepadu ini melibatkan 20 pegawai Imigresen Ranau dengan kerjasama RELA Daerah Ranau.

Kesemua individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM Sabah menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI, serta menyeru masyarakat menyalurkan maklumat mengenai warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.