KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tampil menyalurkan sumbangan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif Dapur Siswa di Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang menyasarkan pelajar kurang berkemampuan, khususnya dari luar bandar.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, program yang diperkenalkan sejak November lalu itu memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 pelajar, melibatkan dua kolej kediaman utama universiti berkenaan.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar ketika harga makanan dan keperluan asas terus meningkat.
Menurut James, kerajaan negeri komited memastikan kelangsungan program itu dan akan menghubungi beberapa GLC serta syarikat berkemampuan untuk menyumbang sama ada dalam bentuk bahan makanan atau bantuan kewangan.
Beliau turut memaklumkan beberapa GLC di bawah kementeriannya telah terlibat dalam sokongan awal, selain sumbangan peribadi beliau berjumlah RM30,000 bagi membantu operasi Dapur Siswa.
Turut hadir dalam lawatan ke kemudahan Dapur Siswa UMS ialah Naib Canselor universiti itu, Datuk Kasim Mansor bersama pegawai kanan universiti.
Bagaimanapun, setakat ini tiada perincian diumumkan mengenai peruntukan tetap atau pelan pembiayaan jangka panjang bagi memastikan kebajikan makanan pelajar dapat ditangani secara berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada sumbangan luar.
Kerajaan negeri turut merancang memperluaskan inisiatif berkenaan ke kampus UMS di Labuan dan Sandakan.
