31 PATI termasuk kanak-kanak dicekup di KK, Sipitang

KOTA KINABALU: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 11 kanak-kanak ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Kota Kinabalu dan Sipitang, semalam.

Dalam operasi di Sipitang, seramai 24 warga Filipina diberkas hasil pemeriksaan terhadap 30 individu. Mereka terdiri daripada enam lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa, enam kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Sementara itu di Kota Kinabalu, tujuh lagi warga asing ditahan hasil pemeriksaan ke atas 16 individu. Tangkapan membabitkan seorang lelaki warga China, seorang lelaki dan tiga wanita warga Filipina serta dua wanita yang masih belum dikenal pasti kewarganegaraan.

Semua ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua mereka dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan lanjut.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa dan memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu atau majikan yang melindungi serta menggaji PATI.