28 Saman, Motosikal Disita Dalam Ops Samseng Jalanan Kota Belud

KOTA BELUD: Polis mengeluarkan 28 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Operasi Bersepadu bagi membanteras samseng jalanan di sekitar Jalan Pan Borneo, Kuala Abai dan Batu Gadung, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain berkata, operasi selama dua hari bermula 24 hingga 25 Januari itu melibatkan seorang pegawai kanan dan 10 pegawai rendah polis daripada BSPT, Balai Polis Kota Belud.

“Sebanyak 43 individu dan 30 kenderaan diperiksa. Hasilnya, 28 saman dikeluarkan termasuk kesalahan tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak sah serta ekzos diubah suai.

“Selain itu, sebuah motosikal turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam dan sebagai langkah mencegah aktiviti samseng jalanan serta gangguan ketenteraman awam.