255 PATI Indonesia Diusir Pulang Melalui Terminal Feri Tawau

TAWAU: Seramai 255 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, pada Khamis.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pemindahan itu melibatkan 223 lelaki, 27 wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara sembilan hingga 72 tahun.

Katanya, pemindahan dilakukan menggunakan feri Francis Express dan Labuan Express selepas semua tahanan selesai menjalani hukuman penjara serta melengkapkan dokumen perjalanan masing-masing.

“Kesemua PATI ini ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa pas atau permit sah serta tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan berkenaan akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen mengikut jenis kesalahan dilakukan bagi mengelakkan mereka kembali ke Malaysia.

Tambahnya, sejak awal tahun ini hingga kini, seramai 1,751 tahanan PATI warga Indonesia telah dihantar pulang ke negara asal, menjadikan jumlah keseluruhan 8,328 warga asing berjaya dipindahkan sepanjang 2025.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau majikan yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah. Tindakan undang-undang akan diambil mengikut peruntukan sedia ada,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan majikan supaya mematuhi undang-undang dan mengambil pekerja asing melalui saluran sah, selain memberi jaminan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa.