KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa operasi penguatkuasaan di sekitar bandar ini, pada 15 hingga 16 Januari lalu.
Operasi melibatkan Ops Mahir, Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Gegar itu dilaksanakan oleh 29 pegawai Imigresen dari Ibu Pejabat Kota Kinabalu.
Menurut kenyataan JIM Sabah, sebanyak enam premis telah diperiksa membabitkan 111 individu terdiri daripada warganegara Malaysia dan warga asing.
“Hasil pemeriksaan mendapati 24 PATI ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan 14 wanita dewasa.
“Daripada jumlah itu, 15 adalah warganegara Filipina manakala sembilan lagi warga Indonesia,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Kesemua individu terbabit dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah.
Semua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Papar bagi tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
JIM Sabah menegaskan komitmen untuk meneruskan operasi penguatkuasaan secara berfokus dan berterusan bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.
