21 PATI Dicekup Imigresen di Ranau

RANAU: Tindakan berani sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal tanpa dokumen sah akhirnya memakan diri apabila mereka dicekup dalam dua serbuan berasingan di sini, semalam.

Operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah itu menyaksikan 21 individu ditahan, termasuk kanak-kanak, selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 24 orang warga asing di dua lokasi sekitar Ranau.

Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Yussof berkata, operasi pada 19 Ogos itu melibatkan 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Ranau.

“Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 21 orang ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 3 wanita dewasa, 2 kanak-kanak lelaki dan 2 kanak-kanak perempuan, warga Pakistan dan Filipina,” katanya.

Sitti Sahela berkata, semua mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau pas yang sah, dan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi dalam hal ini. Mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Kami menyeru orang ramai untuk terus bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI di kawasan masing-masing,” jelasnya.

Menurutnya, kesemua PATI kini ditahan untuk tindakan lanjut dan dijangka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen.