TAWAU: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar daerah ini baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan hasil aduan awam dan risikan selama seminggu itu berlangsung pada 17 hingga 18 September 2025, melibatkan seramai 17 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Tawau.
Menurut kenyataan JIM Sabah, seramai 75 individu telah diperiksa, dan daripada jumlah itu, 20 individu yang terdiri daripada warganegara Pakistan, Filipina dan Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah atau pas yang sah dan kini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
“Kita menyeru orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang melanggar undang-undang, khususnya berkaitan isu keselamatan,” katanya.