KOTA KINABALU: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam Operasi Mahir dan Operasi Kutip di sekitar daerah ini, semalam.
Pengarah Imigresen Sabah dalam kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu itu membabitkan 35 pegawai penguat kuasa dan pemeriksaan ke atas 134 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Filipina, Indonesia dan Pakistan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 18 warga asing disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 telah ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 17 adalah warganegara Filipina membabitkan tujuh lelaki dewasa, lima wanita dewasa serta lima kanak-kanak, manakala seorang lagi adalah lelaki dewasa warganegara Pakistan.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI dan memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negeri ini.
