PUTATAN: Program berkhatan beramai-ramai terus mencatat sambutan luar jangka di daerah Putatan apabila 151 kanak-kanak menyertai Majlis Berkhatan Perdana yang dianjurkan sempena cuti sekolah tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, berkata program tahunan anjuran bersama Pejabat Parlimen Putatan itu bukan sahaja memudahkan ibu bapa menunaikan tuntutan agama, malah membantu mengurangkan beban kewangan keluarga, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Program ini dianjurkan setiap tahun dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Ia bukan sekadar urusan berkhatan, tetapi sebahagian usaha membentuk disiplin dan jati diri kanak-kanak Muslim sejak awal,” katanya selepas merasmikan program itu di Masjid Daerah Putatan, hari ini.
Menurut Shah Alfie, penganjuran berkhatan secara berpusat dan percuma itu memberi kelegaan kepada ramai ibu bapa, terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Katanya, bagi memastikan kelancaran serta keselesaan peserta, majlis berkhatan tersebut dilaksanakan serentak di lima lokasi sekitar Putatan, membabitkan masjid dan surau.
Antara lokasi terlibat ialah Masjid Daerah Putatan, Masjid Kariah Sembulan, Masjid Al-Jannah Kampung Petagas, Surau PPR Sri Keramat dan Masjid Taqwa, Kinarut.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama petugas perubatan dan sukarelawan setempat, sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan komuniti dalam menjayakan inisiatif kebajikan rakyat.
