KOTA KINABALU: Tourism Malaysia menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sebagai sebahagian usaha memperkukuh pengalaman ketibaan pelawat sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Program yang turut diadakan serentak di lapan lapangan terbang utama seluruh negara itu dilihat sebagai pendekatan strategik dalam menonjolkan kepelbagaian budaya serta hospitaliti Malaysia kepada pelawat domestik dan antarabangsa.
Di Kota Kinabalu, majlis berkenaan dirasmikan Pengarah MOTAC Sabah, Chong Wai Kit, dengan kehadiran wakil Tourism Malaysia Sabah, Sabah Tourism Board serta pemain industri pelancongan.
Para pelawat yang tiba disambut dengan cenderamata serta juadah tradisional Aidilfitri, selain dipersembahkan dengan elemen budaya termasuk demonstrasi penyediaan ketupat dan persembahan kebudayaan.
Kira-kira 1,500 penumpang dari pelbagai destinasi termasuk Singapura, Seoul dan Kuala Lumpur diraikan dalam program yang berlangsung selama empat jam itu.
Inisiatif ini merupakan sebahagian strategi berterusan Tourism Malaysia dalam memperkukuh penjenamaan negara sebagai destinasi pelancongan berbudaya, selamat dan mesra pelawat menjelang VM2026.
