KOTA KINABALU: Sebanyak 11 menara telekomunikasi di Pantai Barat Sabah, termasuk di Kota Kinabalu dan Penampang, dikenal pasti memerlukan kerja pengukuhan segera bagi memastikan rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik kekal stabil ketika bencana seperti banjir atau tanah runtuh.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata tumpuan turut diberikan kepada menara yang kerap mengalami gangguan elektrik, terutama ketika Monsun Timur Laut.
“Baru-baru ini di sebelah timur Sabah berlaku masalah bekalan elektrik terputus yang menjejaskan operasi menara telekomunikasi. Saya telah minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneliti data gangguan sepanjang dua tahun lalu untuk mengenal pasti trend.
“Berdasarkan maklumat itu, menara yang kerap terkesan perlu dilengkapi dengan set jana kuasa atau tenaga solar,” katanya.
Beliau menambah, gangguan elektrik turut memberi kesan kepada operasi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), justeru pengukuhan struktur tapak menara akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan unit baharu Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) akan dilancarkan di Sarawak selepas ini.
PRIME merupakan unit sokongan mudah alih yang digerakkan ketika bencana bagi memastikan komunikasi serta capaian internet kekal berfungsi untuk membantu pasukan keselamatan dan penyelamat.
Pada 7 September lalu, dua unit PRIME dilancarkan di Sabah manakala satu di Semenanjung sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan komunikasi di kawasan terputus rangkaian.