KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan subsidi bersasar petrol RON95 kepada rakyat Malaysia.
Pengerusinya, David Chan, berkata langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu adalah tepat pada masanya ketika dunia sedang berdepan cabaran ekonomi global termasuk tekanan tarif import dari Amerika Syarikat serta peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, menerusi skim subsidi bersasar yang diperkenalkan, harga RON95 akan dihadkan pada RM1.99 seliteruntuk rakyat Malaysia, yang layak berdasarkan mekanisme subsidi yang akan menggunakan MyKad sebagai pengesahan identiti pengguna.
“Penetapan harga RM1.99 seliter bagi RON95 akan membantu mengurangkan kos logistik, pengangkutan dan pengeluaran dalam pelbagai sektor termasuk pertanian dan pembuatan. Ini akan membantu menstabilkan harga barangan dan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chan berkata, walaupun harga minyak dunia terikat dengan turun naik pasaran antarabangsa, langkah campur tangan kerajaan melalui penyasaran subsidi ini dapat membantu melindungi kuasa beli rakyat dan memberi keyakinan kepada pelabur dan peniaga tempatan.
“Kami percaya inisiatif ini akan memberi kesan positif berganda kepada ekonomi negara – meningkatkan produktiviti, daya saing industri tempatan dan memberi kelegaan kepada pengguna berpendapatan rendah dan sederhana,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Chan turut menyeru rakyat dan pihak industri agar menggunakan peluang yang diwujudkan kerajaan ini dengan bijak, serta bersama-sama menyokong pembangunan ekonomi negara secara mampan.
Skim subsidi bersasar RON95 ini akan dilaksanakan dengan had penggunaan 300 liter sebulan dan hanya terpakai untuk rakyat Malaysia sahaja, manakala pelancong atau warga asing perlu membayar harga pasaran sebenar bahan api tersebut.
