KOTA KINABALU: Bekas pemain bola sepak negeri, Henry Saimpon mencadangkan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) agar mewujudkan Liga Bola Sepak Sabah atau menghidupkan kembali kejohanan berprestij Piala Borneo.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja mampu memeriahkan arena bola sepak negeri, malah menjadi platform mencungkil lebih ramai bakat tempatan.
“Ia juga boleh menjadi ‘peluang kedua’ buat pemain Sabah FC yang disisihkan untuk terus menyambung karier dalam bola sepak.
“Seperti sebelum ini, ramai pemain kita termasuk yang pernah mengharumkan nama Sabah ketika menjuarai Liga Perdana 2019 akhirnya ‘terkapai-kapai’ selepas pasukan melakukan rombakan besar-besaran.
“Ada yang cuba mencari ruang bersama pasukan lain, namun ada juga yang terpaksa berhenti daripada saingan Liga Malaysia,” katanya.
Henry yang juga Naib Presiden KDM berkata demikian selepas merasmikan Karnival Bola Sepak 11 Sebelah kategori veteran di Padang Pekan Tamparuli, semalam.
Turut hadir Ketua Penyelaras KDM Pantai Dalit, Jaesman Gipin; Naib Ketua KDM Kiulu, Joluin Jairuh; Jasini Yukin serta Ketua PDM Pukak, John Vest.
